Temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 melabuhkan tirai

Written by on 04/09/2018

Foto Ehsan Instagram ccokay___

INDONESIA mengucapkan terima kasih dan selamat tinggal kepada ribuan atlet Asia dalam suasana penuh mesra dan meriah apabila temasya Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 melabuhkan tirainya di Stadium Utama Gelora Bung Karno, di sini malam Ahad.

Upacara penutupan sukan edisi ke-18 itu berlangsung dalam suasana warna warni serta lebih 60,000 penonton di stadium dihiburkan dengan pelbagai persembahan kebudayaan serta nyanyian oleh artis-artis terkenal Indonesia serta persembahan kumpulan K-pop dari Korea Selatan iaitu Super Junior dan iKON.

Percikan bunga api berwarna-warni menghiasi ruang udara stadium pada majlis yang penuh bermakna bagi atlet Asia yang bertarung selama 14 hari untuk membuktikan keunggulan dalam sukan masing-masing dengan menyaksikan China dinobatkan selaku juara keseluruhan.

Foto Ehsan Instagram riskifirdaus

China mengumpul 132 emas, 92 perak dan 65 gangsa diikuti Jepun (75-56-74), Korea Selatan (49-58-70) dan tuan rumah Indonesia di tangga keempat dengan 31-24-43 manakala Malaysia menghuni tangga ke-14 dengan tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa.

Majlis dimulakan dengan upacara perarakan kontinjen dengan Malaysia diterajui oleh ketua kontinjen, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi serta 113 atlet dan pegawai.

Susulan perarakan itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo memberi ucapan secara langsung menerusi sidang video diikuti ucapan terima kasih oleh Timbalan Presiden, Jusuf Kalla.

Presiden Indonesia itu tidak dapat hadir pada majlis itu kerana sedang melawat mangsa gempa bumi di Lombok, Barat Nusa Tenggara.

Presiden Majlis Olimpik Asia (OCA), Sheikh Ahmad Al-Fahad Al-Sabah kemudian mengambil tempat di pentas dengan menyampaikan ucapan penghargaannya kepada kerajaan Indonesia atas kejayaan negara itu menganjurkan temasya sukan tersebut.

Beliau kemudian mengisytiharkan Sukan Asia 2018 dengan tema ‚ÄėEnergy of Asia’ ditutup dengan rasminya dan bendera OCA kemudian diturunkan, Indonesia kemudian menyerahkan obor dan bendera Sukan Asia kepada China sebagai tuan rumah edisi ke-19 pada 2022.

Baca lebih lanjut klik sini…

Sumber : MStar Online

Current track
Title
Artist

Background