Richard Ansin Odiak menjayakan Kayuhan Solo sejauh 211 kilometer (km)

Written by on 30/08/2018

Tema sambutan Hari Kebangsaan 2018 ‘Sayangi Malaysiaku’ menjadi pendorong dan pencetus semangat kepada Richard Ansin Odiak menjayakan Kayuhan Solo sejauh 211 kilometer (km). Richard Ansin Odiak, 61, berkata, usaha tersebut sebagai terjemahan kepada dirinya untuk menzahirkan rasa sayang kepada negara. “Sebagai rakyat Malaysia dan juga Mantan Pegawai Penerangan yang telah berkhidmat selama 38 tahun di Jabatan Penerangan Malaysia, saya merasa terpanggil untuk melaksanakan program ini. “Ia juga satu usaha bagi menyemarakkan semangat patriotisme di kalangan masyarakat untuk menyambut Hari Kebangsaan tidak lama lagi,”katanya kepada pemberita pada sidang media Majlis ‘Sayangi Malaysiaku Solo Ride 211km Richard Ansin Odiak’ sempena Program Merdeka @Komuniti Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2018 di Pekarangan Wisma Dang Bandang, pagi tadi.Richard memulakan kayuhan solo berbasikal sejauh 211 km bermula pada 28 Ogos di Kudat, diteruskan ke Kota Marudu, Kota Belud, Tuaran dan berakhir di Kota Kinabalu hari ini.Sementara itu, Pengarah Penerangan Sabah, Norzawiyah Bulka turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Richard kerana berjaya melaksanakan kayuhan solo berkenaan. “Program kayuhan ini menjadi peransang kepada kami menzahirkan semangat patriotisme dalam diri dan diharapkan program sebegini dapat diteruskan oleh generasi muda bagi menyemarakkan semangat yang jitu dan membara untuk menyambut Hari Kebangsaan,”ujarnya.Pada majlis sama, Norzawiyah turut menyerahkan 10 Jalur Gemilang kepada 10 Pengerusi Muafakat Komuniti Malaysia Bandaraya Kota Kinabalu sempena Program Merdeka @Komuniti Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu 2018.(Jurufoto: Volintine Jiloh/ Teks: Cornelia & Norliza)#PeneranganSabah#SayangiMalaysiaku#KibarJalurGemilang


Reader's opinions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Current track
Title
Artist

Background