VOKfm

Bukan Biasa-Biasa

Current track
Title
Artist

Background

Persembahan istimewa Juara-Juara Rock (JJR) April ini

Written by on 13/02/2018

Foto Ehsan Koleksi Warnada

Pada 1987, peminat rock disajikan dengan album menarik berjudul Juara-Juara Rock yang menggandingkan lima kumpulan iaitu Febians, MAY, Metalian, Scandals dan Burnmarks terbitan Warnada Records.

Mereka antara band rock yang pernah menyertai pertandingan Juara Rock pada era 1980-an. Idea ini mendapat sambutan positif sehingga menyaksikan album Juara-Juara Rock diterbitkan sebanyak tiga siri.

Apa yang dilakukan bertujuan mengasah bakat dan mencipta populariti mereka sebelum berpeluang menghasilkan album sendiri.

Selepas 30 tahun, mereka sekali lagi digandingkan untuk persembahan istimewa Juara-Juara Rock (JJR) – Selepas 3 Dekad pada 8 April ini di The House G-Tower, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.

Penerbit eksekutif persembahan ini, Lan Metalian berkata, JJR – Selepas Tiga Dekad dianjurkan untuk membawa semua peringkat umur menghormati dan menghayati khazanah kenangan paling berharga supaya dapat dikongsi bersama.

“Saya mahu menjalin semula hubungan silaturahim di antara kami semua. Selain itu, ia juga sebagai penghargaan buat peminat yang menyokong album ini suatu ketika dulu.

“Kami turut bercadang mengadakan satu siri konsert jelajah bagi membawa lima band ini ke lokasi lain pula kerana peminat rock tentunya ternanti-nanti untuk kembali mengimbas nostalgia,” katanya.

Menurut Lan, perancangan untuk membuat persembahan ini dibuat pada masa singkat, namun dia terkejut apabila semua anggota asal setiap kumpulan memberi respons positif terhadap usahanya.

Sementara itu, semua anggota kumpulan yang terbabit dalam persembahan ini mengakui, mereka jarang berjumpa sesama sendiri dan teruja apabila kembali dipertemukan.

Penyanyi Febians, Nasabandi Jumat atau Nasha berkata, walaupun mereka kebanyakannya sudah melepasi usia 50-an, tidak bermakna tidak mampu memberikan persembahan yang baik.

“Skil permainan muzik kami masih mantap kerana ada di antara kami ada studio sendiri. Untuk kami menyampaikan lima lagu buat setiap kumpulan bukanlah masalah besar.

“Selepas sekian lama, saya rasa peminat yang selama ini rindukan persembahan kami perlu hadir menyaksikan konsert mini ini kerana selepas ini saya tak tahu bila lagi kami akan bersatu,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan konsert mini JJR-Selepas 3 Dekad boleh didapati dengan harga RM98 hingga RM338 dan sudah mula dijual di lokasi persembahan.

 

Sumber : Hmetro Online


Reader's opinions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *