Pengunduran Lan Solo daripada Kumpulan Kristal sesuatu yang positif

Written by on 28/08/2018

PENGUNDURAN Lan Solo sebagai anggota kumpulan Kristal pada November tahun lalu, sesuatu yang positif kerana membuka mata mereka untuk lebih berkembang maju dalam karier. Malah Lan menganggap perpisahan selepas 19 tahun bersama membawa kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Lan berkata demikian ketika diminta mengulas pengumuman vokalis baru kumpulan itu yang akan dibuat tidak tidak lama lagi.

“Saya lihat pengunduran daripada kumpulan Kristal secara tidak langsung memberi kesedaran masing-masing agar lebih bersemangat membina kerjaya.

“Dulu mungkin tak ada kesedaran untuk maju ke depan. Saya teruja melihat kumpulan Kristal optimis mengembangkan karier. Jadi saya ucapkan maju jaya buat mereka,” katanya.

Lan turut berharap kehadiran vokalis baru memberi impak positif kepada kembara seni Kristal.

Beralih mengenai gambar tidak berbaju yang dimuat naik Lan baru-baru ini, penyanyi yang kini tampil dengan single Berpisah Tanpa Rela itu berkata ia ada kaitan dengan projek terbarunya.

“Sebenarnya gambar itu untuk sesi fotografi fesyen. Projek yang diberi nama The Project itu dikendalikan oleh pereka gaya saya sendiri.

“Pendek kata, fotografi itu digunakan untuk profil kerjaya saya pada masa mendatang. Ada beberapa konsep fesyen diberikan dan saya mencuba semuanya untuk belajar sesuatu yang baharu,” katanya.

Tambah Lan, meskipun tidak memakai baju, dia masih menjaga batas dirinya.

“Ia bukan satu isu besar sebab badan saya bukannya sasa sehingga tampak seksi. Kalau orang kecam, saya sentiasa bersedia kerana saya dalam fasa untuk mencuba dan meneroka pelbagai perkara baru dalam hidup.

“Tidak dinafikan, keyakinan dan sikap terbuka ini saya belajar selepas menyertai Gegar Vaganza (GV). Tidak salah mencuba sesuatu asalkan tidak melanggar batas,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Lan berkata dia dalam perancangan tampil dengan lagu duet tetapi belum memutuskan rakan gandingan.

Sumber : Harian Metro Online


Reader's opinions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Current track
Title
Artist

Background