7 tahun kempunan beraksi dalam Piala Malaysia, akhirnya Sabah FA layak ke suku akhir

Written by on 04/09/2018

SELEPAS tujuh tahun kempunan beraksi dalam kancah Piala Malaysia ekoran prestasi tidak menentu sebelum ini, akhirnya kejayaan Sabah melayakkan diri ke suku akhir Piala Malaysia musim ini dianggap satu pencapaian terbaik.

Muncul selaku pendahulu Kumpulan D dengan 13 mata daripada empat kemenangan dan satu seri, Sabah kini menarik nafas lega setelah berjaya menempatkan diri selaku lapan pasukan terbaik yang akan beraksi dalam suku akhir Piala Malaysia.

Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Ating mengakui, dia sendiri tidak menyangka Sabah mampu sampai ke tahap itu, namun bersyukur kerana kesemua pemainnya menunjukkan komitmen tinggi sepanjang mengharungi perlawanan di peringkat kumpulan.

“Kemenangan semalam merupakan petanda positif bahawa Sabah dapat melangkah lebih jauh dalam Piala Malaysia musim ini.

“Pemain boleh menarik nafas lega selepas kita disahkan layak ke suku akhir. Hanya ada satu perlawanan lagi menentang Pahang di Stadium Likas, Kota Kinabalu pada 16 September ini.

“Mungkin pemain tidak lagi perlu berhempas pulas dalam perlawanan itu kerana jika Pahang menang pun, Sabah masih juara kumpulan berdasarkan perbezaan pungutan mata,” katanya kepada Sabah News Today.

Sabah menewaskan PKNP FC 2-0 di Stadium Batu Kawan, semalam, sekaligus mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia kali ini.

Kedua-dua gol skuad Badak masing-masing dijaringkan oleh Rodoljub Paunovic dan Hector Ramos pada minit ke-30 dan ke-80 pada separuh masa kedua permainan.

 

 

Sumber : SabahNewsToday.com


Reader's opinions

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *



Current track
Title
Artist

Background